Monday

PERSIAPAN & PERSEDIAAN AWAL

1. Persiapan dan persediaan asas
2. Panduan membina kandang kambing


Padang ragut di Assakinah Agro Farm

Persiapan & Persediaan Asas

Salam...

Saya kategorikan penternak kambing kepada 2, iaitu:
1. Penternak sambilan
2. Penternak komersil

Penternak Sambilan

Sekiranya anda hanya bercadang untuk membela antara 20-30 ekor kambing sahaja, anda dikira penternak sambilan. Penternakan sambilan hanya berbaloi ('viable') sekiranya anda tinggal di kampung dan mempunyai tanah sendiri untuk binaan kandang, yang berhampiran dengan tempat tinggal anda. Anda juga harus memastikan yang anda boleh mendapatkan sumber makanan kambing di persekitaran kandang anda dengan percuma dan mampu menguruskan dengan sendiri atau bantuan saudara/kawan-kawan tanpa perlu membayar upah yang tetap (iaitu tiada sebarang komitmen 'overhead'). Kewujudan padang ragut di persekitaran kandang anda akan dapat membantu menjimatkan masa dan tenaga anda mendapatkan bekalan makanan (rumput, daun-daun dll). Di samping itu, ternakan anda dapat memakan pelbagai jenis tumbuhan yang berlainan.

Terdapat banyak sumber makanan kambing di kampung yang sememangnya tumbuh secara semulajadi atau meliar seperti rumput ragut, pokok petai belalang dan pokok balik angin. Sekiranya anda tinggal di kawasan ladang sawit, maka anda bertuah kerana daun sawit sangat disukai oleh kambing dan mempunyai khasiat yang tinggi.




Pokok petai belalang yang biasa tumbuh secara liar mempunyai khasiat tinggi dan menjadi makanan kegemaran kambing





Pokok balik angin juga biasanya tumbuh meliar, daunnya juga berkhasiat dan digemari oleh kambing


Bagi penternak sambilan, adalah dinasihatkan supaya membela baka kambing yang bermutu tinggi seperti Boer gred F4 ke atas atau Jamnapari Peranakan Ettawa dengan menggunakan pejantan tulen (Fullblood). Baka berkualiti tinggi dapat memberi hasil pulangan yang baik kerana anak-anak dapat dijual dengan harga yang tinggi. Sebagai contoh, anak kambing Jamnapari atau Boer tulen berusia 3-4 bulan dapat dijual dengan harga antara RM500 - RM600 seekor, manakala anak kacukan bergred rendah mungkin hanya bernlai sekitar RM200 seekor. Sekiranya anda tidak mempunyai kuantiti, and harus mempunyai kualiti, barulah projek penternakan anda menjadi berbaloi.

Penternak komersil

Sekiranya anda bercadang untuk memulakan penternakan kambing secara komersil, anda semestinya memerlukan tanah yang luas. Ingat! Projek penternakan kambing anda akan hanya 'viable' sekiranya anda berjaya mengurangkan kos pemakanan. Rumput merupakan makanan utama kambing, dan anda harus mempunyai sumber rumput Napier di kawasan berdekatan yang mencukupi. Ingat!!!! Kurangkan kebergantungan kepada palet sebagai sumber makanan kambing anda kerana kosnya yang tinggi, dan harganya pula semakin hari semakin melambung.

Kami cadangkan keluasan tanah sekurang-kurangya 3 ekar, tetapi keluasan yang 'ideal' adalah sekurang-kurangnya 10 ekar. 1 ekar digunakan untuk binaan kandang, rumah pekerja, stor dsb. 3-4 ekar diperlukan untuk padang ragut. Selebihnya digunakan untuk menanam rumput Napier bagi tujuan dipotong. Sekiranya anda bercadang untuk membuat penternakan komersil berskala besar, dengan bilangan induk ribuan ekor, anda harus mendapatkan tanah dengan keluasan melebihi 30 ekar.

Langkah terawal yang perlu dilakukan, sebelum membina kandang dan membeli baka kambing, adalah menanam rumput Napier Taiwan. Sekiranya tanah sesuai, dengan baja dan tahap kelembapan secukupnya, benih yang baru ditanam akan mengambil masa antara 2-3 bulan untuk tumbuh dan membesar secukupnya sebelum boleh dipotong. Pembajaan dan pengairan adalah sangat mustahak bagi membolehkan rumput tumbuh dengan subur dan membesar dengan pantas.

Setelah itu, anda perlu memastikan padang ragut ditumbuhi pelbagai jenis rumput dan tumbuhan yang sesuai seperti rumput 'guinea', dsb.




Rumput Napier Taiwan yang benihnya dijual dengan harga RM80 seguni seberat kira-kira 20kg.

Cara menanam benih rumput Napier

Bahagian tanah untuk menanam rumput Napier hendaklah dipersiapkan terlebih dahulu dengan dibuat batas-batas dan tanahnya digembur, dilembabkan serta dibajakan.

Tanah dipersiapkan dengan batas-batas serta digemburkan untuk ditanam dengan rumput Naiper

Benih rumput Napier Taiwan diambil dari batang rumput yang telah matang, berusia melebihi 4 bulan di mana batangnya sudah keras. Batang ini dipotong sepanjang kira-kira 6 inci setiap satu, dan dibiarkan dalam keadaan lembab sehingga akarnya mula tumbuh. Setelah itu batang yang telah berakar tadi ditanam secara mendatar di dalam tanah.


Pastikan tanah sentiasa lembab di awal proses pertumbuhan, dan dibajakan secukupnya.


Teknik menanam benih rumput Napier Taiwan


AWAS!!! Terdapat pelbagai spesis rumput Napier di negara kita yang kelihatan hampir serupa. Sebahagiannya tumbuh secara liar di tepi sungai dan di tepi jalanan. Spesis Napier Taiwan merupakan yang terbaik bagi ternakan ruminan kerana kandungan protin yang tinggi. Di samping itu batangnya lembut dan tidak berbulu/bersisik, memudahkan kambing memakannya tanpa mengakibatkan mulut kambing mengalami gatal-gatal, tercedera atau luka.



Panduan Membina Kandang Kambing

Pendahuluan-Kos Membina Kandang Kambing

Sebagai panduan umum, secara kasarnya, anggaran kos membina kandang kambing adalah di antara RM500 ke RM1ribu bagi setiap ekor kambing. Bagaimanapun kos sebenar adalah bergantung kepada spesifikasi sebenar kandang yang hendak dibina dan kualiti bahan yang digunakan. Turut mempengaruhi kos sebenar adalah lokasi di mana kandang dibina kerana kos buruh dan bahan yang berbeza di antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain.

Jika kandang dibuat secara agak ringkas, dan menggunakan kayu terpakai, kos purata bagi seekor kambing mungkin hanya kira-kira RM500. Kos ini boleh mencapai RM1ribu jika spesifikasinya lebih tinggi serta bahan yang digunakan lebih mahal.

Menggunakan formula ini, sekiranya anda bercadang membela 50 ekor kambing betina dan seekor pejantan, and perlu bersedia dengan modal sekurang-kurangnya RM26ribu untuk membuat sebuah kandang. Lain-lain kos adalah untuk membeli peralatan seperti mesin chopper dan peralatan ladang seperti sabit, cangkul dll.

Kos seekor induk betina kacukan adalah di antara RM500 hingga RM600, manakala seekor pejantan Boer Fullblood dengan sijil berharga di antara RM2,500 hingga RM3,500. Jadi secara kasarnya anda memerlukan RM30 ribu untuk baka kambing. Lain-lain kos adalah kos operasi untuk membeli makanan dan ubat-ubatan serta kos elektrik dan petrol.

Panduan Rekabentuk Kandang Kambing

Kandang kambing direkabentuk secara memanjang untuk memaksimakan peredaran udara di dalamnya. Bahagian hadapan atau belakang sebaik-baiknya dibina menghadap matahari terbit dan terbenam bagi membolehkan kandang mendapat cahaya matahari secukupnya. Ini membantu membunuh bakteria, hama, tungau dsb yang merupakan musuh ternakan kambing.



Rekabentuk dan ketinggian bumbung juga perlu diambil perhatian supaya peredaran keluar masuk udara ke kandang dapat dimaksimakan. Di samping mengurangkan haba dari terperangkap di dalam kandang, rekabentuk bumbung yang sesuai juga membantu pertukaran udara, mengelakkan bakteria di dalam udara dari terperangkap di dalam persekitaran kandang dan dengan itu mewujudkan keadaan persekitaran kandang yang lebih sihat. Salah satu pembunuh utama ternakan kambing adalah wabak pneumonia (radang paru-paru) yang merebak dari seekor ternakan kepada yang yang lain melalui udara, dan selalu berlaku di waktu musim hujan.

Ketinggian lantai kandang dari permukaan tanah adalah sebaik-baiknya 6 kaki bagi membolehkan pekerja keluar masuk dengan bebas ke bawah kandang, untuk kerja-kerja mencuci kandang dsb. Permukaan lantai bawah mestilah dibuat sedikit curam dan dibina longkang bagi mengelakkan air bertakung di bawah kandang. Perigi kumbahan wajar dibina bagi membolehkan air kencing ternakan mengalir terus ke dalamnya. Sekiranya kewangan mengizinkan, lantai bawah haruslah disimen supaya tinja(najis) dapat dicuci dengan mudah.



Contoh rekabentuk dalaman kandang kambing




Dalam memilih rekabentuk dalaman kandang, aspek praktikaliti bagi kemudahan pengurusan kandang perlu diberi perhatian. Di samping petak bersaiz besar untuk induk dan pejantan mengawan, petak kecil untuk induk yang bunting atau induk beranak serta untuk kambing yang kurang cergas perlu dibina di sebelah dalam pada bahagian tepi petak besar tersebut. Ini untuk memudahkan kerja-kerja pemindahan dari petak besar ke petak kecil apabila induk bunting mencapai peringkat bunting akhir (iaitu bulan ke-4 dan ke-5). Begitu juga halnya bagi kambing yang kurang cergas. Adanya petak-petak kecil sebegini membolehkan kambing-kambing tersebut makan tanpa gangguan serta mendapat perhatian yang lebih teliti.
Kedudukan palung makanan juga harus memanjang mengikut bentuk kandang, untuk memaksimakan ruang makan. Palung makanan harus dibina di bahagian luar petak untuk memudahkan kerja-kerja memasukkan makanan, tanpa perlu bagi pekerja tersebut membuka pintu petak untuk meletakkan makanan.
Untuk pengurusan yang lebih teratur, sistem minuman otomatik menggunakan 'nipple drinker' sangat digalakkan.


Gambar contoh kandang kambing

Pandangan sisi bahagian hadapan



Pandangan sisi bahagian belakang




Videoklip Model Kandang Kambing





Kembali ke Laman Utama



1 comment:

  1. Salam, terima kasih atas info yg diberikan ianya amat membantu saya dalam mendapat gambaran tentang cara2 utk membela kambing. Sy amat berminat dan bercadang utk memulakan penternakan kambing ini. Jadi sy ingin bertanya bagaimana proses utk memulakan projek ini. Terima kasih.

    ReplyDelete

Followers